Pelakon Farid Kamil semalam menerusi laman Instagram mengumumkan yang isterinya, Diana Danielle telah selamat melahirkan anak lelaki petang semalam sekitar jam 4.30 petang waktu Malaysia di Australia.
Menerusi laman Instagram tersebut, Farid turut berkongsi foto bayi lelakinya dengan kata-kata “Welcome to the world my son” selain menulis bayi ini lahir dengan berat 9.7lbs atau 4.39kg.
Farid Kamil juga mengatakan bahawa dia sudah bergelar bapa dan mengucapkan terima kasih kepada isterinya atas kelahiran anak mereka.
Sebelum ini, Farid telah memaklumkan Diana sepatutnya bersalin pada 15 Julai ini tetapi proses kelahiran berlaku lebih awal.
Bulan lalu, industri hiburan dikejutkan apabila Farid memuat naik gambar dia mengucup seorang bayi sehingga menimbulkan salah faham kononnya Diana Danielle telah melahirkan anak sebelum genap sembilan bulan usia perkahwinan mereka.
Bagaimanapun gambar itu telah dinafikan oleh adik Farid iaitu Fadzil Zahari yang mendakwa bayi itu adalah anak saudara mereka yang lahir pada 11 Mei lalu.
Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo by the Lake dekat sini dan kemudiannya Diana Danielle berhijrah ke Australia untuk melanjutkan pelajarannya.
SUMBER :
INFOMEDIA.MY